RAIHANI RAMELAN -  i am a writer

Thank you Allah for the wonderful life -- Hani Ramelan

Saturday, 12 September 2020

Belajar tadabbur Al-Quran

Assalammualaikum w.b.t,
Sebulan tak update blog. Pagi ini di hotel terasa hendak menulis. Semoga perkongsian saya kali ini memberi manfaat pada yang sudi membaca.

Setelah 6 bulan saya sekeluarga menetap di Koh Samui, menunggu takdir dari Allah untuk memudahkan perjalanan kami pulang ke Malaysia, alhamdulillah akhirnya dapat kembali semula ke tanahair.  Sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmahnya dan saya bersyukur cukup segala-galanya di hotel ini. Anak - anak pun sihat walafiat. Suami pun ada di depan mata 24 jam sehari semalam. Nikmat apa lagi yang didustakan? Allahuakbar.

Baru-baru ini, saya dah mulakan aktiviti terbaru. Tadabbur Al-Quran. MashaAllah memang seronok sangat. Saya mulakan dengan surah - surah yang pendek dahulu. Almaklumlah tidak berguru. Jadi, saya rujuk media sosial dan tentunya fizikal Al-Quran untuk bertadabbur. 

Antara tokoh ilmuwan yang saya rujuk adalah Ustaz Datuk Dr Zahazan Mohamad. Penerangan beliau sangat jelas dan mudah untuk saya faham. Cara kupasan juga santai dan bersahaja. 




Antara contoh kupasan Ustaz Datuk Dr Zahazan yang saya suka adalah tadabbur surah Al-Insyirah di rancangan Tanyalah Ustaz. Boleh klik link di sini ya untuk mendengar  Tadabbur surah Al-Insyirah . 

Dalam surah ini jelas Allah nyatakan, di sebalik kesukaran, ada kemudahan, (diulangi), di sebalik kesukaran, pasti ada kemudahan. MashaAllah. Sesuai sangat dengan perjalanan hidup saya dan keluarga pada tahun ini. Saya tidak berani nak ulas panjang takut tersalah menulis. Cuma dalam apapun masalah dan dugaan, Allah pasti akan memberikan jalan keluar kepada setiap hambaNya.  

Kisah hidup di tahun 2020 ini sememangnya sungguh menakjubkan bagi saya. Allah memberikan kami rezeki menjejakkan kaki di tanah suci melakukan ibadah Umrah pada pertengahan Januari tahun ini, sedangkan kami tidak buat perancangan rapi pun. Waktu kami nak pilih tarikh, boleh pula flight MAS penuh. Jadi, kami ambil Air Asia. Dapat penerbangan awal terus ke Mekah. Jika tidak, mungkin tak dapat ke Mekah langsung. Apapun, bila Allah rezekikan, tiada satu pun yang terlewat. Syukur alhamdulillah umrah saya bersama suami tercinta dapat dilaksanakan sebelum covid 19 melanda dunia. 

Allah sebaik-baik perancang. 

Bila bertadabbur ni, hati menjadi tenang. Bila saya rasa susah hati, terus baca Al-Quran dan maknanya sekali. Pernah saya terbaca, ada manusia mengimpikan bila buka mata dah boleh nampak lautan. Saya dah merasai pengalaman tersebut di Koh Samui. Hinggakan ada satu ketika sebab dah hari-hari nampak laut, sampai dah tak rasa kecantikannya. Saya lupa nak bersyukur kerana ramai manusia mengidamkan pemandangan yang saya lihat di Koh Samui setiap hari. Nauzubillah risau takut kufur nikmat. Alhamdulillah sejak bertadabbur, saya memahami syukur itu bukan hanya dari perkataan, tapi paling penting hati saya merasai kesyukuran tersebut. 

Jika sedang mencari aktiviti terbaru, mungkin bolehlah mulakan tadabbur Al-Quran. Cuba surah pendek dahulu. Walaupun pendek, tapi sangat mendalam maknanya. Allah maha mengetahui maha bijaksana menurunkan Al-Quran, panduan untuk kita , umat Nabi Muhammad , umat akhir zaman. Jadi, rugilah jika kita tidak berdampingan dengan Al-Quran.

Terima kasih Allah atas kesempatan umur dan peluang. Semoga Allah kurniakan kami kebaikan dunia, dan kebaikan di akhirat serta jauhkan kami dari seksa api neraka.

Amin amin ya rabb ya mujib.

Hotel Istana, 12/9/2020, 2nd day of quarantine.









Be First to Post Comment !
Post a comment

Custom Post Signature

Custom Post  Signature
Japan Nov 2015